Sabtu, 7 Mei 2011

Hari pertama memandu ke pejabat

Salam untuk pembaca


Last entry mengenai pengalaman memandu kot, bosan la asyik entry pasal ni je kan?


Ok dipendekkan cerita, aku keluar rumah pada hari Isnin tu seusai solat Subuh, hantar anak ke rumah pengasuh dan terus memandu ke pejabat.


Jangan ditanya perasaan yang melanda jiwa sepanjang perjalanan itu, yang masih aku ingat segalanya amat menakutkan kerana kali pertama bersendirian memandu di sepanjang Jalan Kuching yang amat terkenal dengan kesesakan lalulintas saban masa.


Sekali mati enjin dan seterusnya selamat sampai di tempat parkir pejabat. Syukur sangat-sangat.


Selepas tu boleh pulak takut nak memandu balik, abis camno tu? Sapa pulak yang nak menghantarkan pulang ke rumah?


Kelakarnya 15 minit ambil masa untuk keluar dari tempat parkir ha ha memang kelakar kalau saya kenang saat itu, syukur kerana ada seorang kawan ofis mengajar cari keluar parking dan sejak tu memang senang je la nak keluar dari tempat parkir. 


Perjalanan pulang turut menyaksikan aku membuatkan jalan sesak seminit dua kerana kereta mati enjin di Jalan Mahameru. 


Hari-hari seterusnya dilalui dengan perasaan yang sama, radio pun tak boleh dipasang kerana menambahkan lagi gabra.


Dan hari ni , aku sudah pun hampir 4 tahun memandu , paling jauh pernah memandu di Lebuhraya Pantai Timur . 


Syabas untuk aku sendiri!

Jumaat, 6 Mei 2011

Kali pertama memandu

Salam untuk pembaca


Sambungan kisah semalam..alkisahnya mak ada datang ke rumah ku dari kampung selama 2 minggu.


Aku pun awal-awal lagi memohon cuti untuk bersama mak, plannya nak try bawak mak round-round naik Kancil.


Pagi tu bagitau mak, mula-mula kita keluar beli nasi lemak kat depan tu, lepas sarapan kita keluar mungkin pergi jauh sikit.


Mak memang agak teruja kerana kali pertama anak sulong dia ni nak bawak dia jalan-jalan.


Dipendekkan cerita keluar la membeli nasi lemak,ketika pergi segalanya ok tetapi ketika pulang tiba-tiba mati enjin di kawasan berbukit, terus mak cemas dan agak takut dengan situasi tu, yelah sebelum ni mana ada dia naik kereta dengan sesapa boleh mati enjin macam tu.


Kejap lepas tu, kereta berjalan macam biasa dan balik bersarapan. Tiba-tiba mak cakap, rasanya kita tak payah kemana-mana la hari ni, rasanya lagi tenang kalau duduk rumah saja. ( nampaknya mak agak trauma dengan peristiwa mati enjin).


Apa pun plan seterusnya berjalan juga , aku membawa mak ke rumah kawan ku di sebuah kondominium , yang mana nak masuk ke situ kenalah berenti tinggalkan lesen memandu, kat situ pun boleh mati enjin jugak, 2, 3 kali start baru boleh jalan....adooiii yaaaa.


Balik dari rumah kawan ku itu, kereta tu mati enjin ketika menunggu lampu isyarat hijau, kena hon bertalu-talu, mak pucat muka . he he 


Kesan positifnya, selepas je mak balik ke kampung , saya terus memberanikan diri untuk meredah kesesakan lalulintas menuju ke pejabat di Jalan Istana.


Nanti aku akan kisahkan mengenai pengalaman kali pertama memandu ke pejabat.


Takat ni,kalau ada pembaca nak kongsi pengalaman, sila tinggalkan pada ruangan komen ye..

Pengalaman mencuba memandu kereta

Salam untuk pembaca


Semalam aku dah cerita tentang susah payah nak dapat lesen, dah lulus, susah payah keluarkan duit membeli kereta Kancil dan kemudian pamirkan untuk pandangan sendiri di depan rumah.


Kawan-kawan banyak memberi sokongan dalam bentuk positif dan negatif...ada yang cakap naik basikal je la kau ni yang layaknya punnn...eh kalau takat nak parking je macam tu baik gantung je lesen tu..macam-macam lagi la.


Orang yang berjiwa kecil macam aku ni memang susah bagi orang yang berjiwa besar nak memahaminya, tak malu aku nak mengaku aku mungkin pengecut. 


Kali pertama ku cuba keluarkan Kancil dari pagar rumah, dah terlanggar tembok tepi longkang depan rumah, patah no plat, kata suamiku tak mengapa boleh aja ditukar baru nanti.


Kali kedua ku berjaya keluar dari pagar dan bawak mengelilingi taman perumahan ku itu dan beberapa kali mati enjin ketika melalui jalan berbukit.


Begitu lah seterusnya, ku beranikan diri bawak jauh sedikit daripada kebiasaan.


Itu baru pusing-pusing sekitar taman perumahan, belum pernah sekali pun ku berani untuk keluar ke jalan besar ( pada ketika itu)


Setakat beberapa percubaan di atas tu , rasanya aku dah ada sedikit keberanian, bukan senang untuk aku bina rasa berani dan percayakan kebolehan sendiri.


Mungkin ada pembaca yang gelakkan aku tetapi aku cukup bangga bila aku akhirnya berjaya membawa kereta ke pejabat hinggalah ke hari ni.


Nanti sambung lagi pengalaman ku kali pertama ke jalan besar dan kali pertama membawa ibu bersama .


Ok kalau pembaca ada pengalaman nak kongsi kat sini, silakan tinggal di ruangan komen.

Khamis, 5 Mei 2011

Kenangan ketika mengambil ujian memandu

Salam untuk pembaca


Aku percaya terlalu ramai yang sudah memiliki lesen memandu. Maksudku lesen kereta la.


Aku adalah manusia yang gelabah tahap gaban , kalau itu yang sesuai untuk menggambarkan betapa gelabahnya aku.


Ketika mengambil ujian berkomputer ku terlalu gelabah dengan soalan berkaitan dengan warna kerana aku adalah rabun warna, kesemua soalan mengenai warna di dalam buku soalan ku hafal sebaik mungkin.


Sebaik saja mengadap komputer untuk menjawab soalan, pertamanya terus ku mencari soalan berkaitan warna, nasib baik semua telah kuhafal, kemudian jawab soalan-soalan lain.


Syukur ku lulus tapi ada 3 yang salah.


Ketika mengambil ujian di jalanraya, bukit dan parking - 2 kali gagal.


Kali ke 3 , baru la lulus.


Boleh bayangkan sendiri betapa kalut dan teruk sangat rasanya setiap kali memegang stereng kereta pada masa tu.


Selepas dapat lesen "L", kalut beli kereta sendiri yang selayak dengan gajiku, iaitu Kancil 660 tapi kelakarnya Kancil tu hanya terparkir elok di depan rumah sehingga setahun lamanya akibat pemiliknya tidak mempunyai keyakinan untuk memandu.


Ada tak kawan-kawan pembaca yang sama penakut dengan ku?

Rabu, 4 Mei 2011

Saat paling sedih ....

Salam untuk pembaca


Mengenang kembali saat paling sedih di dalam kehidupanku adalah  ketika berhadapan dengan pemergian arwah ayah ketika usiaku menginjak 16 tahun. Satu tamparan hebat yang tidak pernah ku sangka sebelum ni. Terlalu banyak duri dan ranjau yang ku lalui bermula saat itu. Pelajaran yang cukup bermakna.


Pada 2006, ketabahan sekali lagi teruji, Allah menjemput datuk dan nenek ku selang 2 minggu, bermakna hampir serentak pemergian mereka yang banyak membantu ibu, aku dan adik-adik selepas pemergian arwah ayah.


Kini, doa untuk mereka ku titipkan setiap selepas solat 5 waktu, semoga roh mereka aman disana. 


Apakah saat sedih pembaca yang sukar dilupakan?

Selasa, 3 Mei 2011

Manisnya cinta

Salam untuk pembaca


Mengenang kembali kisah cinta antara aku dan suami ku , sememangnya membuatkan hati sedikit berdebar semula.


Biasalah kan, saat bercinta saat paling indah, paling manis.


Saat paling manis ada lah bila ada masa untuk keluar berdating, biasanya port kami adalah Kedai Makan Pak Tam ( sekarang dah bertukar nama Restoran Tuuu Diaaa Pak Tam).


Di situlah kami menghabiskan masa sambil makan tengah hari, kedai tu hanya sepelaung je dari rumah sewaku.


Menonton wayang pun seronok saat bercinta tapi cuma sekali dua je kami habiskan masa dengan menonton - suamiku tak suka sangat tengok wayang, lagi senang kalau beli CD, tengok kat rumah.


Filem yang menjadi kenangan cinta kami adalah Soal Hati lakonan Erra Fazira dan Afdlin Shauki, memang kelakar cerita tu , kami seronok sekali menontonnya.


Satu lagi kenangan yang tidak dapat aku lupakan ketika aku merajuk kerana menunggu lama di Taman Tasik Titiwangsa, bila si dia datang terus digelakkannya aku iniiii..sungguh kurang sopann..


Rupanya dia gelak besar kerana atas kepala ku ada banyak tahi burung, menandakan betapa lamanya aku menunggu di bawah pokok yang di atasnya adalah tandas si burung.


Mengenagkan semua itu, boleh tersenyum kembali sorang -sorang.


Pengalaman cinta anda bagaimana pula ye? Sudi-sudilah kongsi...

Macam-macam cerita...

Salam untuk pembaca.


Oleh kerana blog journal ku ini baru je beroperasi, macam-macam cerita yang nak dikongsikan disini.


Nampaknya aku perlu susun dulu apa cerita yang nak ku paparkan di sini pada helaian kertas terlebih dahulu.


Perlu fikirkan cerita dan perlu fikir tentang gambarnya juga.


Hmmm nampaknya seronok juga ada blog sendiri ni ye! Agak teruja ku rasakan.


Walaupun aku tidak sempat untuk blogwalking dan follow mana-mana blog buat masa ni dan tidak ada sorang pun follower yang follow blog ku ini, tak mengapa.....yang penting niat ku untuk catatkan semua perjalanan hidup ku untuk tatapan masa depan.

Anak-anak pelengkap kebahagiaan

Salam untuk pembaca,

Mana ada ibubapa yang tak bahagia melihat anak-anak yang dilahirkan sihat membesar di depan mata dengan sempurna?

Ibubapa mana yang tidak terharu melihat anak-anak petah berkata, galak bermain, rajin membantu kala ibu sedang sibuk?

Aku bangga mempunyai sepasang cahayamata,yang kini masing-masing dah berusia 8 dan 5 tahun.

Pastinya banyak suka duka sepanjang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan mereka berdua, pastinya akan kukongsikan nanti di dalam entry seterusnya.

OK ke kahwin dengan lelaki muda?

Salam untuk pembaca..

Hmm macam-macam pendapat tentang hal ni yang boleh kita jumpa di laman sembang, di dalam majalah wanita dan ketika berborak dengan kawan-kawan.

Siapa kita untuk menentukan jodoh sendiri?

Sebolehnya aku juga inginkan lelaki yang lebih berusia dariku, kata orang lelaki berusia lebih matang, lebih bersedia dari segi mental dan kewangannya.

Kalau mengikut pengalamanku berkahwin dengan lelaki lebih muda, kehidupanku teratur kerana kami lebih banyak berbincang dalam menentukan setiap perkara yang perlu dilakukan maklumlah kami tidak mempunyai banyak pengalaman dan kewangan pun tidak lah begitu kukuh namun tidaklah menyusahkan keluarga .

Oleh kerana suami ku itu adalah anak tunggal lelaki dan bongsu pula tu dan aku anak pertama kepada 5 adik di bawah yang kematian ayah ketika sekolah lagi, pastinya sedikit sebanyak pembaca boleh mengagak yang aku lebih berdikari di dalam menjalani kehidupan berumahtangga.

Mana yang sempat ku bereskan tanpa pertolongan suami, laju je ku bereskan .

Janji suami tetap memberi kerjasama di dalam kerja-kerja rumahtangga dan penjagaan anak, maklumlah kami sama-sama bekerja.

Cuma yang aku rasa kureng sikit bila berkahwin dengan lelaki muda ni adalah aku tak dapat nak manja-manja sangat kerana dia yang selalunya menunjukkan sifat manja, anak bongsu la katakan.

Apa-apa pun, di dalam sebuah rumahtangga sifat tolak ansur dan saling memahami amatlah penting , satu lagi jangan lupa komunikasi rahsia utama sesebuah perkahwinan bahagia.

Aku dan Cinta

Salam untuk pembaca

Aku dah tua pun…masih boleh berbicara tentang cinta ke ni? Hmm kata orang , cinta itu tiada batasan usia….

Aku tidak mempunyai sejarah cinta yang berjela seperti orang lain, cintaku simple saja.

Cinta berputik di pejabat, kecanggihan IT ketika itu adalah winpopup software mengeratkan kami,lantas menjadikan kami pasangan kekasih.

Mengenali suami ku sekarang hanya 2 tahun dan selepas itu kami terus mengambil keputusan untuk akhiri dengan perkahwinan dan mulakan sebuah penghidupan.

Percaya tak, dia lebih muda 5 tahun dariku?

Berat ku yang terkini

Agak lama aku tak timbang berat badan, boleh dikatakan sejak badan makin mengembang-ngembang ni, mood untuk menimbang berat badan terus ke laut.

Memandangkan aku telah berniat untuk menjaga corak pemakananku bermula sekarang, kena lah timbang berat samada aku suka atau aku benci sekali pun.

Ok, dah naik atas penimbang …dannn…..berat terkini badan ku adalah……………73 kg! wowwww aku tak sangka turun 2 kg, mungkin kerana badan tak sihat kebelakangan ini.

Akan datang aku akan buktikan dengan gambar sekali ye.

Aku tau kekurangan blog aku ni semua entry tanpa gambar je, bosan kan?
Ok ok aku janji aku variasikan lagi blog ini dengan sertakan gambar sekali pada setiap entry! ( sambil angkat tangan seperti berikrar).

Isnin, 2 Mei 2011

Kesihatan ku...

Salam untuk pembaca,
Sejak kebelakangan ni kesihatan ku agak terganggu, baru-baru ni aku telah menjalani ujian darah, keputusannya ok cuma kandungan uric asid di dalam badanku sedikit tinggi.


Nampaknya aku terpaksa mengawal pengambilan semua jenis seafood dan beberapa sayur yang dikenal pasti tinggi kandungan uric asid di dalamnya.


Hmm satu lagi, aku telah menjadi seorang yang obes sejak hampir 2 tahun lalu dan sekarang apakah aku mampu berusaha untuk kesekian kalinya berdiet dan bersenam?


Oh aku sendiri tidak berani memberikan jawapan yang pasti, ye untuk saat ini tiada jawapan yang pasti dari aku.


Duhai pembaca budiman, sudilah kiranya memberikan sedikit nasihat untuk ku yang degil ini!

Aduhai sesaknya....

Salam untuk pembaca journal ku ini...


Sesungguhnya perjalanan hari ini dari rumah mertua memakan masa 4 jam cukup untuk membuatkan punggung ku kebas!


Hujan lebat mengiringi perjalanan kami,syukur kami selamat sampai ke rumah tanpa sebarangan halangan.


Catatan ini terhenti disini...sambung lagi bila ada masa luang nanti.

Template by:

Free Blog Templates